Makan beras import pun hanya perlu tunai kadar asas RM7 zakat fitrah
Kekal RM7 seorang. Itu kadar asas bayaran zakat fitrah di Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan.
Penetapan itu terpakai untuk semua umat Islam tanpa mengambil kira jenis beras yang dimakan, termasuk beras import.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata walaupun negara ketika ini berdepan isu ketiadaan beras tempatan, ia tidak menyebabkan berlaku kenaikan kepada kadar asas zakat fitrah.
Menurutnya, pengiraan kadar asas zakat fitrah sudah mengambil kira julat harga beras tempatan dan beras import biasa.
“Tidak timbul isu ketiadaan beras tempatan (menyebabkan individu yang memakan beras import perlu bayar zakat lebih tinggi).
“Bagi mana-mana individu tidak kira sama ada memakan beras import biasa atau beras yang lebih tinggi kualitinya sekalipun, tetap sah zakat fitrahnya jika dibayar mengikut kadar asas RM7,” katanya, lapor BH.
Sebelum ini, segelintir umat Islam keliru mengenai keperluan untuk membayar zakat fitrah mengikut jenis beras dimakan.
Hal tersebut muncul ekoran isu bekalan beras tempatan yang tidak mencukupi ketika ini sehingga memaksa ramai beralih kepada beras import walaupun kurang berkemampuan.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, umat Islam perlu memahami bahawa dua lagi kategori bayaran zakat fitrah iaitu bagi pengguna beras import premium, RM15 dan pengguna beras basmathi (RM22), bukanlah satu kewajipan.
“Perkara asas yang perlu difahami adalah fitrah dibayar mengikut makanan ruji tempatan, dalam konteks Malaysia, tentunya beras.
“Maka hukum asalnya fitrah dibayar menggunakan beras atau dibayar dengan nilai yang mewakili jumlah beras fitrah yang wajib ditunaikan.
“Pemilihan harga yang lebih tinggi adalah satu galakan dan dianggap lebih baik jika berkemampuan.
“Bagaimanapun, ia bukanlah satu kewajipan sebaliknya galakan untuk membayar dengan kadar yang lebih tinggi mengikut kemampuan,” jelasnya lagi.
BACA JUGA PM minta MAIWP selaras bantuan zakat, elak pengagihan tidak setara