99% farmasi orang Islam di Selangor sudah jadi penal Lembaga Zakat

99 peratus farmasi yang dimiliki oleh umat Islam di Selangor telah menjadi panel kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam melaksanakan tugas mereka untuk membantu asnaf dan program badan itu.

“Maknanya, jika ada 100 farmasi, hanya satu sahaja yang tidak jadi panel.

“Mana yang kata pihak Lembaga Zakat Selangor ni telah menganaktirikan, diskriminasi, tak nak bagi kepada orang Islam,” kata Hamizul Abdul Hamid, pegawai dakwah LZS menerusi video klip beliau.

Hamizul menjawab dakwaan sesetengah pihak yang berkata, LZS menganaktirikan farmasi milik orang Islam apabila menjadikan syarikat farmasi milik bukan Islam sebagai panel mereka.

Menurut Hamizul, mereka tidak dapat menjadikan 100 peratus farmasi milik orang Islam sebagai panel LZS kerana badan zakat itu mempunyai syarat-syaratnya tersendiri yang perlu dipenuhi oleh panel farmasi.

“Kalau tidak penuhi syarat kita tidak boleh lantik dia kerana ia akan bercanggah dengan pelbagai perkara pula nanti,” katanya.

Menurut Hamizul, antara syaratnya adalah farmasi ini mesti berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, ubat-ubat yang sesuai dan sebagainya.

Menurut Hamizul juga, keperluan rawatan dan ubat-ubatan dan asnaf ini melangkaui isu siapa pemilik farmasi itu.

“Contohnya, farmasi Islam tidak ada jual ubat itu. Yang ada di farmasi non Muslim. Takkan kita nak jaga sehingga kita tak boleh buka kepada non Muslim dan kita paksa juga cari farmasi milik orang Islam.

“Dah dia (asnaf) ini perlu cepat (ubat-ubat tu), dia pergilah ke penal yang bukan Muslim yang kita lantik ini, apa salahnya,” jelas Hamizul.

Lagipun, kata Hamizul, di dalam Islam hukum berjual beli dengan bukan Muslim ini adalah harus sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah dahulu.

BACA JUGA Terima kasih bayar hutang, tapi jangan lupa baki RM2 juta – Bekas pencetak Harakah