Kemarau luar biasa di Kelantan, apa Kada buat untuk bantu petani?
Lembaga Pertanian Kemubu (Kada) telah mengarahkan seluruh pegawai dan jenteranya untuk membantu petani negeri itu yang berhadapan dengan kemarau luar biasa yang berlaku lebih awal di Kelantan.
“Saya telah mengarahkan semua pegawai Kada untuk melakukan yang terbaik sama ada membantu menyediakan plan jangka pendek seperti tubewell atau telaga tiub ataupun tindakan lanjut bagi menangani cabaran besar ini.
“Saya akan berikan sepenuh komitmen untuk turun ke setiap Jajahan bagi melihat, mendengar, dan bekerjasama dengan para petani seboleh mungkin menyelesaikan masalah yang berlaku kini,” kata Pengerusi Kada, Ustaz Muhamad Husin.
Selain usaha fizikal Muhamad juga menyarankan supaya para petani mengadakan solat hajat memohon kepada Allah swt permudahkan urusan dengan menurunkan hujan membekalkan air kepada padi petani.
“Semoga Allah permudahkan urusan. Ini jihad kita, jihad menghilangkan kelaparan rakyat,” kata Muhamad menerusi facebook beliau.
Pagi ini, Muhamad bersama pasukan Pejabat Kada Melor Kota Bharu Selatan KBS dan diiringi oleh Timbalan Pengurus Besar Operasi, Puan Maznah ke bendang kampung Chekok, Ketereh bagi melihat sendiri keadaan bendang padi yang kering kontang.
Aduan yang beliau terima bertali arus sejak 22 Febuari lepas setelah kemarau melampau melanda keseluruhan kawasan padi di kelantan.
“Kami berbincang dengan pihak pegawai dan juga para petani yang terkesan teruk akibat musim kemarau ini. Dimaklumkan kemarau kali ini adalah yang paling teruk berlaku dan paras air sungai Kelantan juga dikatakan terendah dalam sejarah iaitu 2.58 meter,” katanya.
Hampir sebulan lepas pam air Kemubu tidak dapat berfungsi akibat paras air yang terlalu rendah dan mengakibatkan air tidak dapat disalurkan ke tali air.
“Fenomena kemarau ini mengejutkan ramai pihak terutama petani kerana dikatakan berlaku lebih awal dari yang disangka,” katanya.
Sejurus selepas lawatan ke bendang Serendah, Muhamad terus ke tapak pam mudah alih di Kampung Keling.
Dimaklumkan oleh para jurutera terlibat, 2 buah pam air berkuasa masing masing 5 qset diletakkan di sini bagi tujuan menyedut air dari sungai keling untuk dibekalkan air ke tali air, dan mampu membekalkan ke 70hakter bendang padi berhampiran.
Walaupun demikian tidak sampai 10% sahaja air yang dibekalkan tersebut dapat memenuhi bendang padi di kawasan Pejabat KADA Melor Kota Bharu Selatan KBS KBU ini.
Melihat keadaan semasa ini, aset pam sedia ada di KADA tidak mampu memenuhi keperluan bendang padi yang hampir semuanya kering.
“Saya akan cuba untuk mencari penyelesaian segera antaranya mungkin mendapatkan lebih banyak pam air mudah alih bagi membantu para petani membekalkan air ke bendang padi di samping ikhtiar membuat tubewell.
“Sama sama kita terus berdoa agar kemelut ini berakhir dalam jangka masa singkat. Kepada Allah jualah kita berserah,” katanya.
BACA JUGA 99% farmasi orang Islam di Selangor sudah jadi penal Lembaga Zakat