Malaysia, Kesatuan Eropah perlukan FTA

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan perjanjian perdagangan bebas di antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) semasa menyampaikan ucapatama di acara 101st East Asia Friendship Dinner di Hamburg City Hall yang dianjurkan oleh German Asia Pacific Business Association semalam.

“Saya tegaskan bahawa Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) harus menghidupkan semula perbincangan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan integrasi serantau.

“Malaysia juga bukan sahaja terbuka menerima perniagaan, malah bersedia untuk bekerjasama dan berinovasi dalam usaha niaga berkualiti tinggi sejajar dengan matlamat negara dan tanggungjawab global.

“Saya turut mengambil peluang bicara soal kerangka Ekonomi MADANI yang mencerminkan komitmen negara untuk memacu Malaysia menjadi ekonomi utama di Asia serta memacu pembangunan yang mampan dan inklusif.

“Kerangka ini membayangkan masyarakat yang berkongsi kemakmuran, mendukung integrasi ASEAN yang lebih kukuh dan ekonomi yang kompleks serta membangunkan Malaysia sebagai kuasa utama serantau.”

Beliau mencatatkan demikian dalam hantaran Facebooknya.

Beliau turut menekankan pendirian berkecuali Malaysia dalam situasi geopolitik yang tidak menentu.

“Saya juga tekankan pendirian berkecuali Malaysia, menjadikan negara ini di kedudukan yang baik untuk menjalankan perniagaan dan perdagangan dengan blok Timur dan Barat.

“Langkah ini sekali gus mengukuhkan lagi daya tahan Malaysia berdepan dengan cabaran geopolitik yang tidak menentu.”

Selain itu Anwar turut menyentuh berkenaan sektor peralihan tenaga yang merupakan sektor penting di Jerman.

“Saya turut berkongsi terkait sektor tenaga, di mana Sarawak adalah negeri penting yang mengeksport tenaga ke Nusantara, ibu negara baharu Indonesia serta melalui kabel dasar laut ke Singapura dan ke Semenanjung.

“Justeru, Malaysia bersedia untuk menyokong peralihan tenaga Jerman menerusi gas asli sebagai bahan api peralihan, sekali gus mengimbangi keperluan segera keterjaminan tenaga Jerman dengan matlamat kemampanan jangka panjang.

“Saya percaya kerjasama antara Malaysia dan Jerman mampu memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak termasuk rakyat keseluruhannya.