Ada jurang perundangan untuk menyediakan hak tebus rugi
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh mengakui jurang di dalam Akta Perlindungan Pengguna untuk membolehkannya berfungsi sebagai undang – undang yang menyediakan hak tebus rugi kepada pembeli kereta. Antaranya ialah definasi pengguna.
Undang-undang hak tebus rugi juga dikenali sebagai lemon law.
“Kita akui juga bahawa ada gaps dengan izin Tuan Yang di-Pertua, dan gaps inilah yang harus kita selesaikan ataupun kita tangani. Jadi antara gap-gap yang kita ataupun jurang yang kita dah kenal pasti ya Tuan Yang di-Pertua ialah kita kenal pasti bahawa definisi ‘pengguna’ itu sendiri.
“Definasi ‘pengguna’ itu kalau dalam Akta 599 ini bila dia bercakap berkenaan dengan pengguna yang domestik, domestic use dan bukan terlibat dengan pengguna yang komersial. Kita juga tengok bahawa kita tak ada undang-undang untuk governing body.
“Jadi dia ada beberapa gap di situ dan kita dapati bahawa kita perlu kaji sama ada dalam jangka masa pendek ini, kita nak buat peraturan sama ada peraturan itu boleh mengisi kekurangan tadi dan sekiranya tidak, sama ada kita perlu ada undang undang baharu. Jangka masa panjang ini tentu sekali perlu undang-undang baharu.
Kita kenal pasti seperti yang saya katakan, kita tidak nafikan bahawa memang ada kelompangan dari segi undang-undang itu. Contoh kita tak ada governing body. Kita tak ada badan yang ada kuasa untuk kenal pasti betul atau tidak aduan itu.
“Jadi kalau dia mengadu dia kata macam ini kerosakannya, kita tak ada orang yang boleh mengesahkan. Undang-undang kita tak ada. Tapi kalau kita buat peraturan, mampukah peraturan tersebut mengisi segala kelompangan tersebut.
“Tentu sekali jangka masa panjang, memanglah kita nak cari satu undang-undang yang tidak ada kelompangan dan satu undang-undang yang betul-betul dapat melindungi hak pengguna dari segi Lemon Law ini.”
Fuziah berkata demikian dalam sesi kamar khas ketika menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi).
Beliau menambah bahawa wujud keperluan untuk menjalankan kempen kesedaran berkenaan perkara di atas.
“Kita akui bahawa kita perlu melakukan edvokasi yang sungguh – sungguh dan edvokasi yang agresif sebab ramai di antara pengguna kita, kadang-kadang buat aduan kepada sosial media.
” Jadi kadang-kadang kita tak melalui aduan saluran biasa dan kita kadang-kadang terpaksa ambil daripada sosial media pula aduan-aduan tersebut dan kita ambil tindakan.
“Jadi perlu kita didik, perlu kita beri penerangan kepada pengguna kita supaya mereka tahu hak mereka dan apa tindakan yang mereka boleh ambil.”