Nasib suntingan Pas agar AMANAH sertai MN…

Pelawaan Pas kepada AMANAH untuk menyertai Muafakat Nasional telah ditolak.

Pengarah komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata pelawaan tersebut ditolak kerana pendekatan politik MN bertentangan dengan AMANAH.

“Pendekatan MN adalah pendekatan ‘ketuanan’ atau supremacist dan ini berbeza dengan pendekatan politik Islam yang dibawa Amanah.

“Bagi Amanah, pendekatan ketuanan ini adalah pendekatan yang lebih mirip kepada pemahaman haluan kanan fasisme yang bertentangan dengan fahaman politik Islam yang mencorakkan Amanah.

“Politik Amanah mementingkan “rahmah untuk semua”, keadilan dan kasih sayang bukan ‘ketuanan’. Sikap “kami tuan dan kamu kena ikut dan hormat kami” adalah sikap yang ‘ghuluw’ atau melampau.

“Ianya menuntut penghormatan atas sebab status sebagai ‘tuan’ dan bukan atas sebab kebenaran dan keadilan. Sikap seperti ini yang menghasilkan gerakan-gerakan seperti ISIS dan Al-Qaeda.

“Ianya membawa kepada keadaan di mana mereka menghalalkan apa jua cara demi, kononnya, ‘kepentingan Islam’.

Pelawaan tersebut dibuat oleh naib presiden Pas Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi rancangan podcast Keluar Sekejap. Mursyidul Am Pas Hashim Jasin membuat pelawaan tersebut terlebih dahulu dalam wawancara dengan media.

Khalid menambah bahawa pendekatan rahmah yang dipegang oleh AMANAH jauh berbeza berbanding pendekatan ketuanan amalan MN.

“Bagi AMANAH, orang Islam dan bukan Islam perlu hidup saling bekerjasama dan hormat menghormati antara satu sama lain. Kalau kita hendak mereka menghormati kita, kita perlu juga menghormati mereka sambil menunjukkan akhlak yang lebih mulia.

AMANAH tidak akan bersama dengan usaha bersatu atas nama kaum atau agama yang pada masa sama tidak menghayati nilai-nilai keadilan dan pembelaan terhadap golongan yang lemah sepertimana yang dituntut Islam.

“AMANAH sememangnya pentingkan usaha dakwah, menunjukkan keadilan dan kebaikan Islam, walaupun dalam berpolitik. Pendekatan MN, khususnya Pas lebih bersifat menghukum dan memaksa, atas pegangan “kami tuan”. Ianya merosakkan imej Islam sehingga dilihat keras dan memaksa.

“AMANAH ingin menzahirkan hakikat bahawa Islam menganjurkan politik berakhlak, mementingkan sifat amanah bagi yang berkuasa, sambil MN mengharuskan fitnah dan menipu serta rasuah pula dianggap sedekah.”

AMANAH merupakan parti komponen Pakatan Harapan.

Pada peringkat awal, MN dianggotai Pas dan Umno. Pilihan raya umum lalu menukarkan keahlian dalam pakatan tersebut.

MN kini dianggotai Pas, Bersatu dan Gerakan.

BACA JUGA: Kerajaan Terengganu pimpinan Pas gagal urus belanja mereka