Perkuatkan undang-undang berkaitan sensitiviti agama

Pihak kerajaan dicadang agar memperkuatkan undang-undang berkaitan perlindungan sensitiviti agama termasuk dalam bidang perniagaan.

Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Nasional, ‘Asim ‘Abdullah Ainullotfi berkata, langkah undang-undang yang lebih tegas akan memberi isyarat jelas kepada syarikat bahawa pelanggaran sensitiviti agama akan diambil tindakan serius.

Katanya, ia sekali gus mendorong mereka untuk mengambil langkah-langkah proaktif bagi mencegah kejadian serupa di masa depan.

”Kami ingin mengingatkan bahawa dalam era globalisasi dan media sosial yang pesat, setiap tindakan syarikat akan disorot dan berpotensi memberi impak besar terhadap reputasi mereka.

”Oleh itu, penting bagi syarikat-syarikat untuk lebih berhati-hati dan menghormati nilai-nilai agama tempatan dan mengambil langkah-langkah sesuai bagi mengelakkan kemungkinan konflik dengan pelanggan mereka,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan sama, beliau menyifatkan pihaknya memandang serius tentang isu penjualan stoking yang tertulis kalimah Allah yang dijual di tiga cawangan KK Mart.

”Pemuda AMANAH ingin menegaskan kepada pengilang, pengedar, mahupun peruncit agar lebih sensitif terhadap isu-isu agama, terutamanya berkaitan dengan kalimah Allah.

”Hal ini penting dalam mengekalkan keharmonian agama di negara ini. Pemuda AMANAH menyeru KK Mart dan mana-mana syarikat yang lain, seharusnya mengambil pendekatan lebih berhemah dalam menguruskan produk-produk,” tegas beliau lagi.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum bahawa KK Mart telah membuat permohonan maaf tentang isu berkenaan, namun berpandangan isu tersebut tidak harus dipandang ringan.

Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial stoking kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Bagaimanapun, KK Mart kemudiannya tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking di satu daripada cawangannya.

Pihaknya memberitahu, penjualan stoking terbabit di beberapa kedai rangkaian serbaneka, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) adalah produk konsainan oleh pihak vendor.

Pengasas KK Super Mart, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, pengurusan produk berkenaan dibuat sepenuhnya oleh pembekal menerusi sistem sewaan tempat dalam premis kedai serbaneka terbabit tanpa pemantauan pekerja pihaknya.

Pagi ini Timbalan Menteri Dalam Datuk Seri Dr Shamsul Ahmad Nasarah mengesahkan KK Mart akan disiasat meskipun syarikat tersebut telah meminta maaf.

Beliau berkata demikian semasa sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

BACA JUGA: Home Ministry’s probe on KK Mart continues