KK Mart cadang ambil tindakan mahkamah terhadap pembekal

Syarikat yang memiliki kedai serbaneka KK Mart – Xin Jian Chang Sdn Bhd bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pembekal di China berikutan kontroversi yang timbul kerana stokin yang tertera kalimah Allah.

Syarikat yang berpusat di Johor itu telahpun menghubungi pembekal untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Pihak pembekal telah mengakui tersilap memasukkan stokin ke dalam bekalan yang dihantar.

“Kita sedang mendapatkan nasihat undang-undang untuk melihat tindakan undang-undang terhadap pembekal kerana kecuaian dalam memenuhi pesanan kami,” kata Xin Jian Chang dalam satu kenyataan.

Penyiasatan dalaman peringkat awal mendapati bahawa stokin tersebut sebahagian daripada bekalan 18,000 pasang stokin dari sebuah syarikat di Zhejiang, China.

Kontroversi timbul apabila gambar stokin dengan kalimah Allah tular pada hari Rabu. Stokin tersebut dijual di KK Mart Bandar Sunway

Syarikat tersebut telah meminta maaf.

Walau bagaimanapun Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah telah mengesahkan bahawa kementeriannya sedang menyiasat dan akan mengambil tindakan susulan.