Terkejut Elon Musk ambil ketamin, trilionair ini selamba kaitkan dengan Tesla

Ramai terkejut apabila trilionair antara terkaya di dunia, Elon Musk mengaku mengambil “sedikit ketamin sekali setiap minggu”.

Musk membuat pengakuan sedemikian ketika diwawancara bersama bekas pengacara saluran berita CNN, Don Lemon.

Dia yang pernah dilapor mengumpul kekayaan berjumlah AS$304.2 bilion (RM1.27 trilion) itu memberitahu bahawa tindakannya menggunakan dadah memberi manfaat kepada pelabur Tesla.

Trilionair berkenaan mengaku mengambil preskripsi ketamin untuk merawat ‘kerangka minda negatifnya.’

Ketamin biasanya digunakan untuk merawat kesakitan dan kemurungan.

Namun, dadah itu menyebabkan keadaan berkhayal tetapi pada masa yang sama memberikan kelegaan kesakitan, penenang dan kehilangan ingatan.

Taikun yang berusia 52 tahun itu membuat pengakuan tersebut berikutan laporan media Amerika Syarikat (AS) bahawa penggunaan dadah olehnya telah menakutkan pelabur.

“Ketamin membantu menangani kerangka fikiran negatif,” kata Musk.

Bahkan, Musk selamba menjawab mengaitkan dengan jualan laris Tesla di pasaran apabila ditanya sama ada penggunaan ketamin boleh memberi kesan negatif kepada persepsi pelabur.

“Kami (Tesla) mempunyai kereta paling laris di dunia pada tahun lepas.

“Jadi, dari sudut pandangan pelabur, jika ada sesuatu yang saya ambil, saya harus terus mengambilnya.”

Pemilik firma SpaceX yang juga menguasai platform media sosial X itu bagaimanapun menafikan menyalahgunakan ketamin.

Menurutnya, dia menggunakan hanya ‘sedikit ketamin sekali setiap minggu atau lebih kurang begitu’.

Tambah Musk, beliau tidak percaya dirinya mempunyai masalah ‘kemurungan berlanjutan’.

Alasannya, dia mengambil ketamin hanya apabila dirinya berada dalam keadaan ‘negatif’.

Semasa temu bual selama sejam itu, Musk turut membincangkan tentang pertemuannya dengan calon pilihan raya Presiden Parti Republikan, Donald Trump pada bulan ini.

BACA JUGA Ini 7 jenama gergasi dunia bankrap kerana sombong, nombor 6 Gen Z mungkin dah tak kenal