Umno, Melaka, kawal Akmal tu…

Menteri Pelancongan Kesenian dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing mahu Umno dan kerajaan Melaka agar mengawal Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh agar tidak memperbesarkan isu stoking dengan kalimah Allah demi modal politik peribadi.

“Akmal mesti segera berhenti daripada membesar-besarkan isu ini. Saya juga dengan penuh harapan menyeru pimpinan Umno supaya memandang serius perkara ini dan tidak membiarkan Akmal menggunakan menggunakan platform Pemuda Umno dan statusnya sebagai pemimpin untuk mengejar agenda peribadinya.

“Saya lebih bimbang sekiranya pemimpin kanan Umno tidak mempedulikan gelagat dan sikap Akmal selaku Ketua Pemuda Umno, maka ini akan mengakibatkan rakyat terus berpandangan negatif terhadap Umno malah tidak mustahil Umno terus ditolak oleh rakyat yang cintakan keamanan, perpaduan dan dahagakan politik matang.

“Selain itu, saya juga menggesa Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, supaya bertindak tegas terhadap keangkuhan dan sikap keterlaluan Akmal yang juga seorang Exco Negeri Melaka,” kata Tiong dalam satu hantaran Facebook.

Akmal telah menggerakkan gerakan memboikot jaringan kedai serbaneka KK Super Mart yang terpalit dengan kontroversi stokin yang tertera kalimah Allah.

Tiong berkata kesilapan yang berlaku tidak disengajakan kerana kecuaian.

“Oleh itu, penting untuk kita bertolak ansur dan menerima permohonan maaf ikhlas syarikat tersebut dengan hati yang terbuka.”

Beliau menambah bahawa jaringan kedai serbaneka tersebut mempunyai lebih 800 cawangan dan pekerjanya termasuk golongan Melayu.

“Jika kontroversi stokin terus memuncak ia mungkin mewujudkan jurang antara pekerja dan lebih teruk lagi ia akan menjejaskan mata pencarian sebilangan besar pekerja. Adakah ini yang Akmal mahu lihat?”

Semalam Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah mengesahkan kementeriannya sedang menyiasat syarikat KK Super Mart.

BACA JUGA: Home Ministry’s probe on KK Mart continues