LKIM usahakan insentif apa untuk belia?

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Faiz Fadzil telah mengumumkan bahawa pihaknya akan menarik minat golongan belia menceburi bidang perikanan dalam dan akuakultur dengan menawarkan pelbagai insentif.

Ini kerana beliau tidak mahu sektor tersebut dikuasai rakyat asing.

“Sebagai Pengerusi LKIM, saya mengalu-alukan kerjasama dengan pertubuhan belia di Malaysia untuk mendengar pandangan bagaimana belia boleh digalakkan menceburi sektor perikanan, termasuk industri akuakultur, hiliran dan produk-produk bermargin tinggi.

“Ini bagi merekrut golongan muda daripada semua kaum menjadi pemain perikanan mahir. Peluang terbuka kepada golongan muda dalam sektor perikanan harus disediakan. “Feel free to approach me anytime,” kata beliau dalam satu kenyataan.

LKIM juga mengharapkan Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dapat menambah pelbagai insentif dan geran bagi menggalakkan keterlibatan anak muda dalam sektor perikanan.

“Bukan itu sahaja, LKIM juga menggalakkan nelayan muda untuk berdaftar secara sah dengan Persatuan Nelayan (PN) untuk memastikan mereka mendapat bantuan yang selayaknya.

Faiz menambah penglibatan nelayan baru di dalam persatuan nelayan pula akan memperkasa persatuan sebagai entiti perniagaan sektor pertanian.

“Kelestarian sektor perikanan bergantung kepada kemampuan golongan muda menceburi sektor ini.

“Atas kesedaran ini, LKIM telah menjalin kerjasama dengan UMT atas dasar PINTAR untuk melahirkan nelayan muda yang berkemahiran tinggi dan mempunyai pengetahuan dalam teknologi seperti penggunaan dron dan internet of things (IOT).

Faiz turut berkata bahawa LKIM akan menumpukan fokus terhadap kerjasama penglibatan swasta dalam program kerajaan.

“LKIM juga akan menumpukan kepada inisiatif “Public-Private Partnership” yang lebih banyak diwujudkan dalam sektor perikanan. Untuk memajukan sektor ini pada kadar lebih agresif, penglibatan pihak swasta dalam program kerajaan amatlah diperlukan.

“LKIM terbuka kepada usaha sebegini untuk membina lebih ramai pemilik perniagaan, usahawan dan tenaga kerja mahir tempatan dalam sektor perikanan. Usaha memodenkan nelayan adalah antara halatuju utama LKIM.

BACA JUGA: Increase in fish landings leads to LKIM increasing its goal