Tak perlu terburu-buru pinda perlembagaan, kajian mendalam perlu

Kerajaan tidak akan terburu-buru meminda perlembagaan persekutuan agar hak negeri untuk menggubal enakmen jenayah syariah dapat dilindungi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar.

“Dalam hal ini, apa-apa cadangan berhubung dengan perkara ini tidak boleh dilaksanakan secara terburu-buru.

“Kajian yang mendalam dan komprehensif berhubung dengan perkara tersebut hendaklah dibuat bagi memastikan apa-apa keputusan yang dibuat adalah tepat, teratur dari segi undang-undang dan boleh dipertahankan sekiranya ia dicabar di mahkamah kelak.”

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) yang bertanya berkenaan kesediaan kerajaan meminda perlembagaan untuk melindungi enakmen jenayah syariah.

Naim turut menambah bahawa Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan dengan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam sedang memperhalusi perkara tersebut.

“Apa-apa syor, pandangan dan cadangan yang akan dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas ini termasuklah pindaan kepada apa-apa undang-undang mahupun Perlembagaan Persekutuan akan diperhalusi dengan teliti bagi memastikan penyelesaian yang terbaik dapat diangkat kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dan Majlis Raja-Raja kelak.”

BACA JUGA: Jawatankuasa khas perkasa mahkamah syariah terbuka kepada pandangan parti politik