Chelsea, Manchester City boleh disingkirkan

Jika Chelsea dan Manchester City didapati bersalah melanggar Peraturan Kewangan Fair Play, kedua-dua kelab bola sepak itu bakal berdepan ancaman disingkirkan daripada Liga Perdana Inggeris (EPL).

City kini sedang menunggu keputusan 115 dakwaan ke atas mereka oleh Liga Perdana pada awal tahun lepas, lapor Harian Metro.

Chelsea pula belum lagi didakwa, tetapi hukuman mungkin tidak dapat dielakkan selepas membelanjakan lebih £1 bilion (RM6 bilion) sejak diambil Todd Boehly pada Mei 2022.

Nottingham Forest muncul kelab terbaharu yang menerima hukuman selepas suruhanjaya bebas membuat keputusan memotong empat mata berikutan kesalahan sama menyebabkan kelab tersebut jatuh ke-18 di zon penyingkiran dengan 21 mata.

Sebelum itu, kelab Everton juga dihukum pemotongan mata, tetapi ia dikurangkan daripada 10 kepada enam mata sahaja.

Terbaharu, Chelsea dan City diberi amaran mereka berdepan hukuman maksimum iaitu disingkirkan daripada EPL sekiranya didapati bersalah melanggar peraturan kewangan.