DAP ucap takziah pemergian YB Kuala Kubu Bharu
Parti Tindakan Demokratik (DAP) merakamkan ucapan takziah susulan pemergian seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka, Lee Kee Hiong, pagi tadi.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan, ketika hayatnya mendiang telah menjalankan tugas dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
”Sebagai aktivis DAP sejak 1993, beliau telah menjalankan tugas dengan penuh amanah dan bertanggungjawab dalam perjuangan untuk rakyat Malaysia.
”Mewakili pimpinan DAP pusat, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.
”Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar untuk kita semua,” tulis Loke dalam satu hantaran di Facebooknya, sebentar tadi.
Loke yang juga Menteri Pengangkutan menambah, mendiang telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat tempatan sejak diamanahkan menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan pada 2013.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut menzahirkan ucapan takziah buat keluarga mendiang.
“Mewakili Kerajaan Perpaduan Negeri Selangor, saya mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Puan Lee Kee Hiong, serta seluruh sahabat dan anggota di dalam DAP yang kehilangan tokoh berpengalaman,” katanya.
Dalam masa sama, Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak mendoakan agar mereka semua diberi kekuatan menempuh detik mencabar itu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, mendiang menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.
Beliau mendapat 14,862 undi, manakala Kien Hong hanya meraih 10,743 undi ketika PRN itu.
BACA JUGA YB Kuala Kubu Bharu meninggal dunia