Yadim perluas kefahaman bukan Islam berkenaan sensitiviti Muslim

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan melaksanakan empat pendekatan bagi memperluas pemahaman dan libat urus dengan masyarakat bukan Islam berkaitan perkara yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

Yang Dipertua (YDP) Yadim, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus memaklumkan, pihaknya mengambil pendekatan tersebut susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang berhasrat memperluaskan pemahaman mengenai isu sensitif umat Islam.

”Badan bersama-sama Yadim seperti Majlis Amal Islami Malaysia, Nadwah Ulama dan Ilmuan Yadim dan Majlis Wanita Islam Yadim akan menggunakan pendekatan akademik seperti wacana, forum silang budaya dan seminar bagi memberi pencerahan berkaitan.

”Bagi peringkat mahasiswa dan belia pula, Rakan Siswa Yadim (RSY), Rakan Belia Yadim (RBY) dan Rakan Remaja Yadim (RRY) akan digerakkan untuk mengadakan lebih banyak program turun padang bersama-sama komuniti bukan Muslim.

”Kami percaya pendekatan mesra dan akademik dalam kalangan belia dan anak muda akan memberi kesan positif jangka panjang ke arah keharmonian negara tercinta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Hasanuddin lagi, pendekatan menerusi sukarelawan Yadim (SAY) juga mampu berperanan sebagai ejen perpaduan menerusi program-program kemasyarakatan dan kebajikan.

Katanya, sehingga kini program SAY yang dianjurkan terbukti memberi kesan positif dalam mencapai keharmonian kaum serta masyarakat.

”Akhir sekali, Yadim mempunyai program tahunan dalam melatih pelapis muda dakwah iaitu Akademi Daie Muda Yadim (ADMY).

”Dalam program ini, pelatih ADMY diterapkan dengan modul silang budaya dan agama yang mengandungi pengisian untuk mereka berinteraksi dengan pelbagai pihak bukan Muslim di negara ini,” ujarnya lagi.

Dalam kenyataan sama, Hasanuddin merakamkan ucapan terima kasih atas kepercayaan diberikan Menteri Hal Ehwal Agama untuk menggalas tugas yang sangat penting dalam pembangunan masyarakat bagi mencapai aspirasi Malaysia Madani.

Beliau menambah, beberapa program bersama rakan bukan Muslim telah pun dilaksanakan oleh Yadim seperti pertemuan dengan Gereja Besar St Anne di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan kunjungan mesra ke Persatuan Hindu Sangam Malaysia serta program menyantuni masyarakat Tionghua sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Dalam kenyataan sama, Yadim turut memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa terbuka dan mengalu-alukan sebarang bentuk idea serta cadangan bagi menambah baik usaha menyantuni pelbagai masyarakat di negara ini.

BACA JUGA: Kalau dah ketagih beri teguran, itu tandanya… – Hasanuddin