Minimum RM1000 untuk penjawat awam Selangor

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan penjawat awam di negeri itu akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebulan gaji atau minimum RM1,000 sempena Syawal tidak lama lagi.

Beliau berkata, Bantuan Mahabbah Ramadan yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM45 juta itu, akan disalurkan pada 8 April depan.

”Sebulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri yang sedang berkhidmat di SUK (bangunan pentadbiran kerajaan negeri).

“Bantuan sama akan diterima penjawat awam kerajaan persekutuan yang berkhidmat bawah SUK,” katanya lapor BH.

Menurut Amirudin penggerak masjid seperti nazir, imam, bilal, siak serta guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) juga akan menerima bantuan bernilai RM500.

“Kumpulan pemimpin masyarakat iaitu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pegawai perhubungan perkampungan kampung baru, bagan, tersusun serta ketua komuniti India terima elaun sebulan.

“Turut menerima manfaat sama adalah penyelia Pusat Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Penggerak Belia Selangor,” ujar beliau.

BACA JUGA: Tawaran menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 ditolak