Tiada tolak ansur untuk kes buli
Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku buli di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.
KPM memaklumkan, pihaknya sedia memberi kerjasama penuh terhadap siasatan kejadian seorang pelajar kolej vokasional di Sabah yang ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan, semalam.
”KPM menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, pelajar Kolej Vokasional di Sabah yang telah meninggal dunia pada Jumaat.
“Kematian mangsa masih dalam siasatan pihak berkuasa dan KPM bersedia memberi kerjasama penuh,” maklum kementerian itu menerusi satu kenyataan hari ini.
KPM turut memberitahu bahawa pihaknya juga telah mengambil tindakan segera dengan memberi bantuan kebajikan kepada keluarga mangsa.
“Sokongan psikososial juga ditawarkan kepada keluarga, pelajar lain, guru dan seluruh warga kolej,” kata KPM.
Semalam, seorang pelajar berusia 17 tahun ditemui meninggal dunia dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan di bilik asrama sebuah kolej vokasional di Sabah.
Ketua Polis Lahad Datu, Rohan Shah Ahmad, dilapor berkata, pihaknya mengenal pasti punca kejadian adalah perselisihan faham antara mangsa dengan penghuni-penghuni asrama yang lain.
BACA JUGA:KK Mart yang dimarahi, Speedmart yang diserang