Butik baju Melayu popular terbakar lagi, dua staf sesak nafas

Butik baju Melayu terkenal, Elrah Exclusive di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi terbakar, semalam mengakibatkan dua staf premis itu mengalami sesak nafas.

Pada 11 Januari tahun lalu, gudang milik butik itu di Jalan Kepong, Batu 6 1/2 terbakar kira-kira jam 4.40 pagi.

Kemusnahan kebakaran ketika itu dianggarkan 30 peratus berkeluasan 4.8 x 4.8 meter persegi dan seorang lelaki berusia 30-an sesak nafas.

Dalam kejadian 2.29 petang semalam, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi digerakkan ke lokasi untuk memadam kebakaran.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan, Rahamat Sabarudin mengetuai operasi pemadaman bersama 11 anggota serta tiga jentera termasuk sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan Water Tanker.

Kebakaran membabitkan longgokan kotak di ruangan tangga aras tiga premis tersebut.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, kebakaran berjaya dipadamkan selepas anggota bomba menggunakan satu aliran air 91 meter dari air tangki pam jentera.

Beliau dilapor memberitahu kebakaran membabitkan longgokan kotak yang terdapat pada ruangan tangga di tingkat tiga premis itu.

Jelasnya, dua pekerja lelaki di butik itu sesak nafas dan diberikan rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Kedua-dua mangsa, masing-masing berusia 20 dan 21 tahun itu kemudian dikejarkan ke Hospital Serdang untuk rawatan susulan.

Pihak bomba masih menjalankan siasatan berhubung punca sebenar kebakaran.

Elrah Exclusive dalam promosi Aidilfitri tahun ini melantik sejumlah duta terdiri daripada ahli politik dan artis.

Mereka adalah bekas Ahli Parlimen Rembau yang kini penyampai radio, Khairy Jamaluddin dan regu beliau dalam podcast Keluar Sekejap (KS), Shahril Hamdan.

Turut menjadi duta Elrah ialah Sharnaaz Ahmad, Beto Kusyairy, Meerqeen, Amir Ahnaf, MK, Shahril, Fahimi Rahmat dan Fadhli Masoot.

BACA JUGA Penduduk di Kelantan hilang sabar, anak enggan balik beraya jika isu air tak selesai