Dah dipindah sekolah pun, guru wanita masih bertemu pelajar di pantai
Heboh di media sosial yang mendakwa seorang guru wanita masih berhubung dan pernah bertemu dengan pelajar dicintainya di pantai secara rahsia.
Walhal, guru terbabit telah dipindahkan ke sekolah lain selepas laporan polis dibuat Disember tahun lalu.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, siasatan lanjut sedang dijalankan.
Beliau berkata, semua pihak yang terbabit sudah dipanggil merakam percakapan termasuk remaja dan guru berkenaan.
“Polis sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya, lapor BH.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14, Akta Kesalahan Seks Terhadap kanak Kanak 2017.
“Siasatan masih berjalan yang mana kertas siasatan dihantar ke Bukit Aman sebelum diarahkan meneruskan siasatan,” ujarnya.
Sebelum ini, individu yang mendakwa sebagai saudara mangsa menggunakan media sosial untuk meluahkan perasaannya berhubung kes itu.
Menerusi aplikasi X, dia memberitahu, ibu mereka sudah membuat laporan polis serta laporan berasingan kepada Pejabat Pendidikan Daerah.
Namun, dia kemudiannya menurunkan hantaran itu selepas menarik perhatian warga maya.
Dalam hal berkaitan, ibu remaja terbabit dilapor memaklumkan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah menghubunginya untuk mengadakan pertemuan.
“Kejadian itu berlaku sudah lama dan saya ingatkan guru terbabit sudah insaf, namun tak sangka dia masih berhubung dengan anak saya.
“Selepas kisah ini tular, pihak menteri sudah menghubungi untuk mengadakan pertemuan dan Insya-Allah saya akan maklumkan fakta sebenar apa yang berlaku,” tambahnya lagi.