Subsidi bersasar secara pindah tunai bulanan dikaji
Kerajaan dijangka mempertimbangkan pemberian subsidi bersasar dalam bentuk pindahan tunai secara bulanan, kali pertama ditawarkan kepada rakyat berbanding sebelum ini, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Berbanding sebelum ini, subsidi kerajaan diserap terus ke dalam harga barangan yang dinikmati semua pengguna tanpa mengira tahap pendapatan serta status kerakyatan, termasuk rakyat asing.
“Cadangan yang diangkat kepada kerajaan sekarang sedang dibincangkan dan yang akan diputuskan ialah bantuan dalam bentuk pindahan tunai secara bulanan.
“Sebelum ini, kalau ada bantuan kerajaan lain, kita bagi tiga atau empat bulan sekali melalui e-wallet dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog awam berkenaan Pangkatan Data Utama (PADU) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam.
Menurutnya Ahli Parlimen Pandan itu, cadangan berkenaan sesuatu yang tidak pernah ditawarkan kepada rakyat sebelum ini.
“Melalui PADU, kita mahu ada reformasi bantuan sosial rakyat untuk jangka masa panjang.
“Sebab itu, melalui model pindahan tunai bulanan, ia lebih kurang seperti tambahan gaji bulanan, RM300 atau RM400 sebulan, bergantung kepada keadaan,” jelasnya.
Dalam masa sama, Rafizi memberitahu kerajaan tidak boleh menunda tarikh tutup pendaftaran PADU kerana perlu mematuhi jadual piawaian yang telah ditetapkan.
Ujarnya, kerajaan terpaksa menanggung sekurang-kurangnya RM2 bilion sebulan jika pelaksanaan subsidi bersasar ditangguhkan.
“Kos itu sangat tinggi dan itu pun jangkaan secara konservatif, sedangkan lebih baik sekiranya RM2 bilion itu disalurkan kepada keluarga yang memerlukan,” katanya.
Sebelum ini, katanya, Perdana Menteri juga mengumumkan dalam Belanjawan 2024, kerajaan akan melakukan penstrukturan semula subsidi pukal dan ke arah subsidi bersasar.
“Kalau kita lanjutkan, itu bermakna kita akan terus menolak garis masa pelaksanaan itu ke belakang,” katanya.
Tambahnya, tumpuan kerajaan bukan sekadar menjaga harga barangan semata-mata, sebaliknya menangani kos sara hidup menerusi usaha meningkatkan pendapatan bulanan isi keluarga.
BACA JUGA KK Mart yang dimarahi, Speedmart yang diserang