‘Tak mahal sangat pun’ – Sanusi mampu beli dua, tapi harga Hyundai Palisade boleh buat B40 murung

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor secara terbuka menganggap Hyundai Palisade sebagai ‘kereta biasa’ sahaja bukannya jenis kereta mewah.

Bahkan, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas berkenaan berkata, dia mampu membeli dua unit kenderaan utiliti sukan (SUV) buatan Korea Selatan itu.

“Bukan beli kereta mewah-mewah. Kereta biasa je.

“Kalau saya nak beli sendiri pun saya ada duit, saya boleh beli. Dua biji saya boleh beli. Tak mahal sangat pun.

Sanusi Md Noor

“Tapi kerajaan beli, saya naiklah,” katanya sambil tergelak dalam ucapannya yang dikongsi di TikTok.

Semakan Harapan Daily mendapati harga jualan Hyundai Palisade di negara ini mencecah hampir RM 400,000 seunit yang boleh didapati dalam lapan warna dan empat varian.

Sebelum ini, warganet heboh memperkatakan tentang Hyundai Palisade yang digunakan Sanusi dengan nombor pendaftaran KCX8.

Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, dua kereta yang digunakannya sejak tahun 2020 kerap rosak dan sudah tidak ekonomik lagi.

“Sejak saya jadi Menteri Besar, saya pakai kereta yang dibeli oleh Ustaz Azizan tahun 2012 dan kereta yang dibeli oleh Mukhriz tahun 2014 kot… Mercedes.

“Mercedes ni bila sampai satu peringkat dia tidak ekonomik lagi tapi kita baiki juga pasal nampak macam elok

“Absober pun mahal. Sekali repair, RM40,000 – RM50,000. Jadi, tak ekonomik untuk kita gasak dia,” katanya lagi dalam klip video yang dimuat naik di akaun TikTok beliau.

BACA JUGA Sanusi mengaku beli kereta baharu