Will Smith baca al-Quran dari ‘cover to cover’ masa Ramadan, apa halnya?

Bintang terkenal Hollywood, Will Smith menarik perhatian ramai apabila baru-baru ini mendedahkan membaca 30 juzuk al-Quran pada Ramadan tahun lalu.

Pelakon popular Amerika Syarikat (AS) itu mengakui ayat al-Quran adalah ‘sangat jelas’ dengan menyatakan kitab suci umat Islam itu sukar menimbulkan salah faham kepada pembacanya.

Namun timbul persoalan apa yang terjadi sehingga mendorong pelakon antarabangsa itu terdetik untuk mendalami isi kandungan ayat al-Quran?

Mendedahkan hal itu kata Smith, dia tergerak membaca kitab suci selepas melalui pelbagai dugaan dan kesukaran hidup sejak dua tahun lalu dan memilih untuk kembali kepada kerohanian.

“Saya suka kesederhanaan pada al-Quran, ia ringkas untuk dibaca.

Maknanya jelas seperti kristal dan suci, sukar menimbulkan salah faham kepada pembaca,” katanya.

Selain al-Quran, aktor berusia 56 tahun itu turut membaca tiga kitab lain iaitu Taurat, Zabur dan Injil.

Bagaimanapun, antara semuanya Smith lebih tertarik kepada al-Quran yang disifatkan sangat jelas maknanya.

Pendedahan itu dibuat bintang filem Hancock itu menerusi sesi temu bual podcast, Big Time bersama wartawan Mesir, Amr Adeeb.

Smith berkata, dia turut membaca daripada kulit ke kulit.

Pada sesi temubual itu, Smith turut menekankan tertarik dengan kisah Nabi Isa yang dimuatkan dalam kitab suci al-Quran.

“Saya kagum membaca banyak rujukan mengenai Nabi Isa dalam al-Quran. Saya juga terkejut bagaimana kisah dalam empat kitab iaitu Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran saling berkait dan umpama satu kisah,” kongsinya lagi.

Temu bual bersama Smith itu berlangsung ketika kunjungannya ke negara itu.

Menurutnya, ia adalah kunjungan ketiga ke negara teluk itu dan teringin mahu menetap di Arab Saudi.

BACA JUGA Pemimpin Pas beli ‘like’ termasuk dari Vietnam