Kalau nak lihat peniaga curang dihukum, jangan sibuk tular dulu video

Rupanya tindakan menghebahkan ketidakpatuhan peniaga terlebih dahulu di media sosial menyukarkan siasatan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Buat aduan kepada KPDN terlebih dahulu bukannya ‘mengadu’ di media sosial.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam, berkata pihaknya berdepan kesukaran menjalankan siasatan kes yang ditularkan sebelum ini kerana banyak bukti sudah dihapuskan oleh peniaga terbabit.

Menurutnya, adalah lebih baik aduan terus disalurkan kepada KPDN terlebih dahulu.

Beliau memberi jaminan pihaknya akan menyiasat setiap laporan yang diterima termasuk mengenakan tindakan kepada individu yang melanggar undang-undang.

“Kita harap aduan ketidakpatuhan peniaga ini disalurkan terus bagi memudahkan KPDN menjalankan siasatan,” nasihatnya.

Azman berkata demikian ketika mengadakan walkabout Ops Pantau 2024 bagi memantau harga barangan di Anjung Syawal, Presint 3, di sini semalam.

Katanya, KPDN mengalu-alukan aduan daripada orang ramai jika terdapat aduan yang ingin diketengahkan membabitkan ketidakpatuhan peniaga.

Jelasnya, kementerian menyediakan pelbagai platform bagi memudahkan orang ramai menyalurkan aduan.

Aduan tersebut, tambahnya, dapat membantu KPDN melaksanakan tindakan pantas bagi mengekang aktiviti menyalahi undang-undang.

Orang ramai boleh menyalurkan aduan menerusi laman WhatsApp ditalian 019848800/019 2794317;Portal e-Aduan http://eaduan.kpdn.gov.my; Pusat Panggilan 1-800-886-800; Ez ADU KPDN dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC)03-88826245/6088.