Bapa tak setuju ustazah Pasti ajar budak lukis bendera politik

Seorang bapa berkongsi coretan mengenai sekolah Pasti di mana kesemua empat orang anaknya dihantar ke sekolah berkenaan demi memenuhi pembinaan sahsiah anak-anak.

Bapa yang dikenali sebagai Imlan Adabi itu berkata, biarpun ada kelebihan pada pusat pendidikan awal kanak-kanak itu, namun dia tidak bersetuju apabila guru di sekolah tadika Pas mengajar anaknya melukis sebuah bendera politik.

“Empat anak saya belajar di sekolah Pasti sejak usia empat tahun. Saya sengaja pilih Pasti kerana sistem pendidikan yang berkualiti dan memenuhi pembinaan sahsiah kanak-kanak.

“Mereka diajar baca doa, Bahasa Arab, Bahasa Inggeris dan subjek lain yang sesuai. Mereka diajar wuduk dan solat berjemaah. Saya setuju pendidikan ini. Semua anak saya khatam al-Quran di sekolah rendah.

“Suatu hari anak kedua saya pulang sekolah dengan bangganya bercerita ustazah ajar buat bendera.

“Kata cikgu tersebut, kamu pilih kertas putih dan buat bulatan di tengah. Dalam bulatan tu biarkan putih. Kamu hanya perlu warna hijau untuk luar bulatan,” tulisnya di Facebook.

Usai kejadian itu, dia dan isterinya menghubungi pihak pengurusan pusat asuhan tersebut untuk membantah apa yang telah diajarkan kepada anaknya.

“Saya dan isteri tak setuju bab ni kerana budak-budak sudah diajar lukisan macam tu. Saya hubungi pengurusan Pasti dan mereka akur untuk tidak mengulangi lagi,” katanya.

Biarpun begitu, Imlan tidak melatah dan turut meluahkan rasa kecewa apabila ada individu yang menganggap guru-guru Pasti sebagai sukarelawan.

Dia mempersoal adakah mereka yang bergaya dengan kereta mewah seperti Mercedes dan BMW tidak terfikir untuk sediakan gaji tetap untuk guru-guru Pasti?

Dia mengharapkan agar pihak yang bertanggungjawab tidak mengabaikan kebajikan tenaga pengajar pusat asuhan tersebut.

“Apabila guru-guru Pasti dianggap sukarelawan sahaja, saya sedih. Mereka bertugas sepenuh masa untuk dua sesi. Ada yang pulang dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

“Pada hari ini, kos kehidupan berbeza 40 tahun lalu. Adakah mereka yang bergaya dengan kereta mewah seperti Mercedes dan BMW tidak terfikir untuk sediakan gaji tetap untuk guru-guru Pasti?

“Adakah guru-guru tiada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan caruman skim keselamatan sosial, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kerana kesukarelawan mereka?,” soalnya.

Untuk rekod, pusat asuhan itu telah ditubuhkan pada tahun 1980 dan sebanyak 2,497 Pasti beroperasi di seluruh negara yang menempatkan 9,539 guru.

BACA JUGA Ada ‘plot twist’ rupanya – Wan Saiful minta RM2 juta termasuk kemoterapi isteri dan gugurkan kes