MP Rantau Panjang kemalangan: Polis minta saksi tampil

Saksi nahas jalan raya membabitkan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff di Jalan Bukit Antarabangsa, di Ampang Jaya, kelmarin diminta tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, dalam kejadian pukul 5.08 petang itu, kemalangan membabitkan sebuah kereta Mazda dan pacuan empat roda Toyota Hilux.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa hujan lebat.

Kereta Mazda, jelasnya, secara tiba-tiba datang dari arah bertentangan masuk ke laluan pemandu Hilux menyebabkan berlakunya pertembungan.

“Akibat daripada kemalangan ini, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan, manakala kesemua mangsa mengalami kecederaan.

“Pemandu dan penumpang Hilux terdiri daripada empat ahli keluarga di mana salah seorang penumpang adalah Ahli Parlimen Rantau Panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keadaan Hilux dinaiki Kak Lah selepas dirempuh Mazda semasa hujan lebat kelmarin.

Sehubungan itu, Azam berkata, saksi kes kemalangan tersebut diminta untuk tampil ke Balai Polis Trafik Ampang Jaya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Siti Zailah atau mesra disapa Kak Lah berkongsi detik cemas berhubung nahas terbabit yang mengakibatkan anak perempuannya cedera.

Menurut pemimpin Pas berkenaan, ketika kejadian, mereka sekeluarga dalam perjalanan ke majlis berbuka puasa bersama anak yatim di Puchong, Selangor.

Dalam hal berkaitan, rakaman video detik-detik kereta Mazda berwarna merah bertembung dengan Hilux yang dinaiki Kak Lah menerusi kamera papan pemuka (dashcam) tersebar di media sosial.

BACA JUGA Individu dedah apa MB Kedah buat pada Kedah Agro, Sanusi balas “see you in court”