Rafizi pulangkan paku buah keras kepada Puad

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli memulangkan paku buah keras susulan kritikan tajam ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi terhadap sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

“Yang bising sangat ini Puad Zarkashi saja, kalau Malaysia kaya-raya pun dia tidak setuju dengan saya kerana dulu saya bawa isu 1MDB ketika dia Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

“Selepas itu beliau kalah pilihan raya dan terpelanting dari kerajaan, ini semua berkaitan dengan isu peribadi.

“Jadi kalau ada empat lima tokoh politik yang bising kerana isu peribadi dan ini tidak menghalang pendaftaran PADU dalam tempoh seminggu lalu, yang mana setiap hari 300,000 hingga 400,000 berdaftar dengan kita,” katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak KL20 di Parlimen.

Semalam Puad mendakwa kegagalan PADU adalah disebabkan oleh kegagalan sistem kerja, komunikasi dan imej Rafizi yang meyakinkan rakyat.

Isu ini timbul kerana tarikh akhir pendaftaran PADU ialah 31 Mac dan majoriti masyarakat bukan Melayu belum lagi mendaftarkan diri.

Â