Novel dari penjara lawan pemikiran teroris

PENDAPAT Oleh WAN JI WAN HUSIN

Dalam penjara, bahan bacaan yang dihantar oleh keluarga adalah buku-buku yang saya sedia beli sebelum ini yang belum sempat dibaca lagi.

Justeru, semasa menjalani hukuman penjara, saya ambil kesempatan untuk membaca buku-buku tersebut.

Buku-buku tersebut boleh dianggap sebagai bacaan berat. Sudah pasti, bacaan tersebut agak meletihkan otak. Namun, sudah menjadi kebiasaan saya sebelum masuk penjara pun, bacaan tersebut adalah bacaan harian saya.

Dalam peraturan penjara, dalam satu masa, hanya tiga buah buku sahaja yang dibenarkan banduan pegang. Jika ada buku baru sampai, maka digantikan dengan tiga buah buku sahaja.

Sebagai orang yang sudah terbiasa dengan bacaan berat; dengan masa yang banyak terluang dalam penjara, tiga buah buku itu saya berjaya khatamkan dalam sekitar 5 hari sahaja. Sementara untuk sampai buku-buku yang lain, kebosanan dalam penjara saya penuhi dengan mengulangi hafalan al-Quran dan solat.

Suatu hari, ada seorang pesalah dari Indonesia memegang sebuah novel. Saya meminta untuk meminjam novel terbabit untuk jangka sehari sahaja. Walaupun dia agak keberatan, tetapi setelah saya pujuk dan memberi jaminan, dia membenarkan saya pinjam juga.

Novel bertajuk “Semusim dalam jahiliah” karya Nuridhzuan Al-Farikh itu berjaya saya khatamkan tidak sampai sehari. Sekitar 5 jam pun, sudah berjaya dikhatamkan. Saya mula sedar, novel adalah bacaan yang menjadikan otak saya berehat dan mampu berkhayal. Ia umpama filem yang saya lihat secara imaginasi.

Tidak lama kemudian, ada seorang pesalah memberikan saya sebuah novel karya Ramlee Awang Murshid bertajuk “Haura”. Novel setebal 417 muka surat itu, saya berjaya khatamkan dalam masa satu hari. Stress saya dalam penjara berjaya dikurangkan dengan membaca novel terbabit. Dalam masa yang sama juga, saya turut membaca novel Salina, karya Pak Samad Said.

Setelah membaca Novel “Haura” yang mempunyai jalan cerita yang menarik, saya terfikir berkenaan tesis Phd saya berkenaan counter terorisme dari sudut pentafsiran al-Quran dan hadis.

Saya berfikir, motif dan tujuan saya tulis tesis tersebut adalah untuk mencadangkan metode menolak pentafsiran teroris terhadap al-Quran dan hadis, sedangkan ramai kalangan yang terlibat dengan terorisime adalah mereka yang punyai pendidikan agama yang kurang mendalam yang sudah pasti agak berat untuk faham metode yang saya perkenalkan dalam tesis PhD saya.

Saya terfikir, adalah lebih baik saya memperkenalkan metode tersebut dalam bentuk yang lebih santai dan menarik untuk menjadikan ia sebagai bacaan yang mudah difahami oleh orang awam.

Makanya, saya terfikir menulis novel berbentuk percintaan, tetapi dengan memperkenalkan metode pentafsiran al-Quran dan hadis.

(GAMBAR: Draf novel yang ditulis tangan oleh Wan Ji di dalam penjara, namun sebahagian telah dirampas)

Saya pun menulis novel bertajuk “cinta di medan kashmir” yang mengkisahkan seorang pemuda bernama Islah yang bercinta dengan seorang anak gadis bernama Munirah, yang keluarganya mendapat tarbiah jihad dari gerakan Jemaah islamiyah dari Indonesia.

Abang Kepada Munirah yang bernama Radhi merupakan seorang teroris telah menghalang percintaan antara Islah dan adiknya, walaupun Islah juga mendapat pendidikan di Pakistan bersama dengan Radhi. Perbezaan mereka adalah, Islah mendapat pendidikan dari aliran deobandi, sedangkan Radhi mendapat pendidikan dari jamiah salafiyyah – jihadiyyah yang dikelolakan Lasykar – e – taiba, sebuah organisasi jihad yang berpengkalan di Kashmir.

Walaupun Radhi adalah penghalang kisah cinta antara Islah dan Munirah, tetapi akhirnya cinta terhalang itu berjaya disatukan kembali oleh Radhi setelah dia ditahan dalam tahanan ISA.

Novel itu agak panjang, kerana mencecah sehingga 72 bab; dari bab 1 sehingga 49, buku tulis saya sudah penuh, maka terpaksa ditulis dalam buku lain untuk bab 50 sehingga 72. Namun sedih, buku yang ada bab 50 sehingga bab 72 dirampas oleh pihak penjara.

  • Tulisan asal adalah di dalam Facebook Herjunot Ali yang dimiliki oleh penulis.