Tiada pitih untuk Kelantan, Terengganu, kenapa?

Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa tiada hasil petroleum yang didapati dan diperolehi dalam negeri Kelantan dan Terengganu untuk melayakkanya menerima bayaran tunai hasil petroleum.

“Bayaran tunai hasil petroleum akan dibayar terus kepada negeri sekiranya didapati dan diperoleh (won and saved) dalam perairan wilayah tiga batu nautika yang diukur daripada garis air surut selaras dengan Akta Laut Wilayah 2012.

“Sehingga hari ini, tiada petroleum yang didapati dan diperolehi (won and saved) di dalam negeri Kelantan dan Terengganu. Apa-apa hasil daripada medan-medan petroleum Pantai Timur Semenanjung Malaysia adalah didapati dan diperolehi di luar perairan negeri iaitu melebihi tiga batu nautika yang diukur daripada garis air surut pantai wilayah selaras dengan Akta Laut Wilayah 2012.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkenaan usaha kerajaan pusat menoktahkan polemik tuntutan royalti Kelantan dan Terengganu.

Ahmad Marzuk turut bertanya berkenaan halangan utama untuk merealisasikan tuntutan ini dan juga jumlah hasil tahunan yang diperoleh kerajaan persekutuan dan Petronas hasil daripada aktiviti carigali di perairan Kelantan, Terengganu dan Joint Development Area dengan Thailand.

Anwar menjelaskan bahawa kerajaan pusat menyalurkan wang ehsan kepada Kelantan dan Terengganu untuk pelaksanaan projek dan program bermanfaat demi rakyat kedua-dua negeri.

“Kerajaan persekutuan terbuka untuk berbincang dan bersedia mempertimbangkan cadangan daripada kerajaan negeri Kelantan dan kerajaan negeri Terengganu yang boleh dipersetujui bersama supaya melibatkan program serta projek yang boleh dibiaya melalui pemberian wang ehsan untuk manfaat langsung rakyat negeri Kelantan dan Terengganu, terutamanya dalam usaha mengurangkan kemiskinan dan menambah baik infrastruktur asas.”

BACA JUGA: Peniaga rugi jual ayaq pun, bayar gaji, inikan pula MB Kedah