Dua daerah di Sabah ini cipta rekod paling lama tak dapat hujan
Dua daerah di Sabah, iaitu Lahad Datu dan Papar, masing-masing ‘kering’ selama 29 dan 28 hari, sekaligus mencipta rekod daerah paling lama tidak menerima hujan.
Sebanyak 13 lagi daerah di negara ini tidak menerima hujan melebihi 15 hari dengan Langkawi melalui 22 hari tanpa hujan dan Pasir Puteh, Kelantan (21 hari).
Sementara itu, Kota Belud, Kota Kinabalu dan Putatan di Sabah mencatatkan 19 hari tanpa hujan.
Daerah seterusnya diikuti Labuan (18 hari) serta Jelebu dan Port Dickson di Negeri Sembilan (17 hari).
Enam lagi daerah tidak menerima hujan selama 16 hari, iaitu Muar di Johor; Jeli, Kota Bharu dan Kuala Krai di Kelantan; Temerloh di Pahang dan Chuping, Perlis.
Mengulas keadaan itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata 41 daerah lain berada pada status berjaga-jaga.
Kesemua daerah terbabit merekodkan suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius.
“Lapan daripada daerah berkenaan adalah di Kedah, tujuh di Johor, masing-masing enam di Negeri Sembilan dan Pahang, masing-masing dua di Sabah dan Sarawak, selain satu daerah di Perak iaitu Kuala Kangsar.
“Selain itu, Sepang di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” lapor BH.
BACA JUGA Lebih 27,000 kandungan provokatif dipadam, purata 452 sehari ‘sampah’ kebencian, angkara siapa?