‘Hari-hari saya dapat aduan masalah air di Kedah’

Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari mendedahkan bahawa setiap hari beliau menerima aduan tentang masalah air yang berlaku negeri itu.

Katanya, terdapat dua projek sakit yang parah di negeri jelapang padi itu, iaitu Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau dan LRA Sungai Limau.

”Tarikh siap LRA Bukit Selambau sepatutnya pada 2 Disember 2023 dan dijadualkan semula pada 26 Jun 2024.

”Kalau kita tengok kemajuan fizikal sepatutnya berapa? Sepatutnya 56.29 peratus, tetapi yang siap hanya 24.47 peratus.

”Projek kedua adalah LRA Sungai Limau.. tarikh siap sepatutnya 28 Oktober 2023, tetapi dijadualkan semula pada 25 April 2024.

”Kalau kita tengok kemajuan fizikal sepatutnya selesai adalah 71.61 peratus, tapi yang selesai hanya 21.1 peratus,” katanya dalam satu video di platform TikTok.

Menurut Taufiq lagi, daripada projek-projek sakit itu, keseluruhannya dibiayai oleh kerajaan Persekutuan, manakala kerajaan negeri hanya melaksanakannya.

Katanya, kos keseluruhan kedua-dua projek itu adalah sebanyak RM219.2 juta.

Jika projek berkenaan tidak diselesaikan segera, jelasnya, maka 80 peratus daripada rakyat di Baling dan Kuala Muda akan menerima kesan buruk.

”Apa nak jadi ini kerajaan negeri Kedah? Kalau berlaku kecemasan, berapa peratus back up yang ada? 0 peratus.

”Jadi kerajaan persekutuan bantu kerajaan negeri. Contoh tiba-tiba berlaku kecemasan di Kedah, ada dua perkara yang dijawab timbalan menteri iaitu pertama membina Takungan Air Pinggir Sungai (Taps) dan yang kedua, pembinaan LRA baharu dan naik taraf LRA melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Dalam pada itu, Taufiq turut mengimbas kembali alasan yang diberikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Dalam video sama, turut diselitkan sedutan video Sanusi yang menyifatkan kelewatan berlaku akibat kenaikan harga barangan antara 40 hingga 70 peratus.

”Memang berat.. kontraktor mana pun boleh bungkus,” kata Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN).

BACA JUGA ‘Ustaz, ustazah, cikgu di Pasti tak fikir pasal gaji’