Lebih 27,000 kandungan provokatif dipadam, purata 452 sehari ‘sampah’ kebencian, angkara siapa?
Sebanyak 27,115 kandungan provokatif di media sosial diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini.
Ini bermakna secara purata terdapat 452 kandungan ‘sampah’ kebencian dilupuskan.
Tahun lalu, SKMM membuang 35,490 ‘sampah’ sedemikian sepanjang tahun lalu.
Menerusi kenyataan SKMM hari ini terdapat peningkatan ketara kandungan memudaratkan di media sosial dan platform Over The Top (OTT).
“Sejumlah 2,004 kandungan membabitkan ucapan berbaur kebencian dan menyentuh aspek 3R (raja, agama dan kaum) yang berpotensi mencetuskan keganasan dan diskriminasi diturunkan sejak Januari 2023 hingga kini.
“Sementara, sejumlah 479 kandungan provokasi dan 3R diturunkan sejak 13 Mac hingga kini,” menurut kenyataan itu.
Jelas SKMM, kandungan memudaratkan termasuklah ucapan berbaur kebencian, scam, penjualan haram, perjudian dan berita palsu.
Semua perkara tersebut, kata SKMM lagi, mengundang ancaman signifikan kepada fabrik sosial dan institusi di Malaysia.
“Sebarang perkongsian kandungan bersifat jelik dan mengancam merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali,” tegas SKMM.
Sehubungan itu, SKMM berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan sebarang penyebaran kandungan provokatif yang melampau di media sosial.
Dalam masa sama, semua pihak diingatkan supaya menghentikan hantaran provokasi dan elak daripada menulis komen-komen yang bersifat provokatif dan 3R di media sosial.
BACA JUGA Ini sebabnya lebih 70,000 peserta Felcra mengukir senyuman menjelang Aidilfitri
Â