Projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang dijangka siap 2030

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerja-kerja pembinaan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang disasarkan bermula tahun ini.

Projek yang akan bermula dari Pulau Silikon hingga ke Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dijangka mengambil masa lebih kurang enam tahun dan beroperasi pada tahun 2030.

“Kerajaan akan mempertimbangkan kaedah pembiayaan projek yang sesuai sama ada melalui Peruntukan Pembangunan ataupun kaedah lain yang sesuai.

“Jajaran LRT Laluan Mutiara akan bermula dari Pulau Silikon hingga ke Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

“… dan seterusnya menyeberang ke Penang Sentral di Seberang Perai untuk memberi ketersambungan kepada rangkaian keretapi KTM Komuter dan perkhidmatan tren elektrik (ETS) sedia ada.

“Jarak jajaran dianggarkan lebih kurang 29 kilometer dengan 20 stesen termasuk 2 stesen pertukaran, iaitu di Stesen Komtar dan Stesen Penang Sentral,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga telah memutuskan untuk melantik MRT Corp, syarikat 100 peratus milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), sebagai pemaju dan pemilik aset untuk projek tersebut.

BACA JUGA ‘Ustaz, ustazah, cikgu di Pasti tak fikir pasal gaji’