Belum ada kata putus pun, jangan kelam-kabut sangat – Lokman

Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menegaskan agar tidak mempolitikkan isu melibatkan pelakon, Jasmine Suraya yang mahu menyambung pelajaran di Amerika Syarikat.

Sebelum ini, kerajaan menerusi Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan sedia mempertimbang langkah membantu pelakon berusia 35 tahun itu menyambung pengajiannya di peringkat ijazah sarjana di Institut Perfileman dan Teater Lee Strasberg, Los Angeles.

Fahmi berkata, pihaknya sedia membantu Jasmine sekiranya perkara yang dikemukakan adalah bersesuaian.

Lokman Adam

Susulan perkara itu, Lokman menegaskan, Fahmi menjawab perkara tersebut kerana ianya ditanya secara tiba-tiba oleh pihak wartawan.

”Saya faham rakyat marah bila perkara ini seolah-olah dilihat macam pilih bulu. Berdasarkan kenyataan YB Fahmi, beliau kata ianya dalam perincian, belum ada sebarang kata putus.

”Jadi, jangan kelam-kabut sangat.. rakyat tak boleh cepat melatah. Beliau menjawab kerana ada wartawan tiba-tiba bertanya mengenai perkara itu.

”Jadi, selaku Menteri Komunikasi, saya percaya beliau faham situasi artis dan penggiat seni,” katanya dalam satu video di Facebook beliau.

Justeru, Lokman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO meminta agar tidak mempolitik dan mensensasikan perkara berkenaan.

Beliau menyifatkan, pembangkang umpama sudah kehabisan modal dan menggunakan ‘peluru’ yang lain.

”Saya sangat simpatilah. Mereka macam mengalami masalah ketandusan isu. Semua benda yang tak perlu jadi isu pun, jadi isu.

”Benda baik yang kita buat nak tolong bela nasib artis pun, nak jadikan isu. Padahal, benda belum muktamad pun,” tempelak beliau lagi.

Sebelum ini, Jasmine Suraya dilapor terpaksa menjual beberapa barangan peribadi termasuk kereta bagi menanggung kos pengajiannya selama setahun di Los Angeles yang menelan belanja RM400,000 bermula April depan.

Jasmine merupakan rakyat Malaysia pertama yang diterima masuk ke Institut Perfileman dan Teater Lee Strasberg.

BACA JUGA KJ buatlah parti ‘Baju Melayu’