Nak beli saham? Ini komen Tengku Zafrul

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz meminta orang ramai mengabaikan mesej ‘scammer’ yang kononnya beliau ada menawarkan saham.

Menerusi laman X malam tadi, beliau turut berkongsi tangkap layar penipu siber itu yang menggunakan nombor telefon 016-312 0304.

“Kalau ada dapat mesej kononnya daripada saya nak rekomen beli stock, tolong abaikan dan lapor kepada pihak berkuasa.

“Tugas sebagai Menteri pun dah tak menang tangan, ni kan pula nak beri nasihat saham. 🤣,” tulis Tengku Zafrul.

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

Kes-kes penipuan dalam talian yang turut mengeksploitasi nama dan wajah menteri antara pelbagai bentuk modus operandi ‘scammer’ untuk memperdaya orang ramai.

Tahun lalu sahaja, bagi tempoh Januari hingga November, sebanyak 32,462 kes penipuan dalam talian dengan jumlah kerugian mencecah RM1.3 bilion dicatatkan.

Jumlah itu meningkat sebanyak 37.5 peratus berbanding tahun 2022 iaitu 23,608 kes membabitkan nilai kerugian RM771.1 juta.

Jumlah kes paling tinggi melibatkan jenayah e-dagang iaitu 10,993 dengan kerugian sebanyak RM382 juta sepanjang Januari hingga November 2023.

Sementara itu, kes pelaburan tidak wujud merekodkan jumlah kerugian paling tinggi sebanyak RM421 juta.

Terdapat sebanyak 9,526 kes jenayah telekomunikasi dan 2,006 kes jenayah e-kewangan, masing-masing mencatatkan kerugian RM327.9 juta dan RM103.6 juta.

Bagi love scam, 883 kes direkodkan Bukit Aman membabitkan kerugian RM40.9 juta manakala 4,018 kes pinjaman tidak wujud dengan kerugian RM38.5 juta.

Sehubungan itu, polis kerap menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh untuk menjawab telefon dan ditakutkan dengan scammer.

BACA JUGA ‘Saya pun biasa banting padi masa muda dulu’