Peniaga menangis khemah diarah tutup gara-gara Diva AA joget di Ekspo Baling

Salah seorang peniaga di karnival Fiesta Raya Baling 2024 tidak dapat menahan rasa sedih selepas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Kedah didakwa telah mengarahkan agar ekspo di tapak itu ditutup serta merta dalam tempoh 48 jam.

Ia selepas seorang selebriti terkenal tanah air, Diva AA dirakam sedang menari ala dangdut di atas pentas bersama beberapa orang lelaki lain, dan telah melanggar garis panduan ditetapkan PBT.

Perbuatan adik kepada pemimpin Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu sekaligus menyebabkan peniaga terpaksa menanggung kerugian kerana terpaksa menutup perniagaan mereka.

Seorang peniaga dikenali sebagai Eira Aziera berkata, dia kecewa dengan keputusan pihak kerajaan negeri dan mempersoalkan apa salah mereka sebagai peniaga.

Dia juga mempersoalkan di mana budi bicara pihak berkuasa sebagai orang Islam sehingga membuatkan kesemua peniaga di situ terjejas.

“Penganjur bagi tahu vendor-vendor untuk tutup khemah dalam masa 48 jam. Apa salah kami peniaga sampai kami yang kena diarahkan tutup?

“Yang menari bukan kami, yang menari tu pun tak ada dalam atur cara majlis. 

“Bila booth di arah tutup, automatik budak-budak tu (pekerja) tak ada kerja sampai hari raya. Dekat mana budi bicara hangpa sebagai orang Islam.

“Patutkah orang Islam lain yang buat, orang Islam yang tak ada kena mengena ni menjadi mangsa. Ingat nak pi buka booth tu tak guna duit kah?,” soalnya kecewa dalam satu hantaran di TikTok.

Aziera yang popular dengan jualan donut red velvet berkata, dia sudah menghabiskan beribu ringgit untuk membuka khemah di karnival tersebut, termasuklah kos publisiti dan mengupah 10 orang pekerja.

Dia juga mengatakan tidak akan lagi menjejakkan kaki ke Baling selepas ini.

“Saya bayar tau (pekerja) seorang RM100. Ada 10 orang, kena ambil semata-mata untuk set up booth sahaja. Hari-hari turun daripada Sungai Petani pi ke USM. Dari USM turun pi Baling.

“Saya habiskan tenaga, pengorbanan saya untuk mempublisitikan tempat itu, dan menaikkan martabat tempat itu tapi yang saya kecewa adalah umat Islam seagama saya 

“Apa pun ini pertama dan terakhir Ira datang Baling,” ujarnya.

Aksi Diva AA di atas pentas sebelum ini bukan sahaja mendapat kritikan panas daripada pelbagai pihak, bahkan kecaman pedas turut dilemparkan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

BACA JUGA Wan Fayhsal muka ada senyum, MP PN beria jumpa pemimpin China komunis