‘Alhamdulillah tak pernah rasa macam ini’, pekerja ‘gomen’ seronok dapat duit raya RM500
Pengumuman Perdana Menteri yang bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri berjumlah RM500 mendatangkan senyuman kepada penjawat awam seluruh negara.
Di kala penjawat awam baru sahaja menerima bayaran sebanyak RM2,000 baru-baru ini, berita baik diumumkan kerajaan pada semalam menambah sinar dan mengubat kekecewaan mereka.
Tinjauan Harapan Daily di platform media sosial hari ini mendapati rata-rata penjawat awam meluahkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Meskipun pada Februari lalu kerajaan telah menyalurkan bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak, namun jumlah tersebut lebih tertumpu kepada pengurusan perbelanjaan sekolah anak-anak.
“Alhamdulillah itulah cara kerajaan nak gerakkan ekonomi, kerana semua tahu penjawat awam bukan simpan duit tu, dia akan belanja di gerai-gerai dan kedai,” kata Ibrahim.
“Alhamdulillah jauh sangat beza dulu dengan sekarang. Dulu (pada) 2021, bonus hujung tahun RM350 + bonus raya RM350= RM700. (Tahun) 2024, bonus bulan Februari RM2,000 + bonus raya RM500 = RM2500,” kata Khay.
“Alhamdulillah. Syukur, terbaiklah Kerajaan Perpaduan Madani. Tak pernah rasa macam ini, dapat RM2000,ini RM500 lagi. Masyaallah,” kata Omar pula.
“Terima kasih PMX (Anwar), kerana prihatin dengan kami (penjawat awam). Bantuan hari itu (bayaran Insentif Awal) memang habis untuk kelengkapan sekolah tiga anak. Bantuan raya kali ini dapat guna untuk kelengkapan sambut raya pula,” luah Amirul.
“Alhamdulillah penjawat awam terima bonus raya RM500. Dulu ketika saya dalam penjawatan, bonus macam ni sangat membantu. Belanja sebaiknya ya,” ujar Khairul.
Tidak ketinggalan pesara juga meluahkan rasa syukur dengan bantuan disalurkan kerajaan.
“Terima kasih Kerajaan Perpaduan. RM500 sudah cukup banyak nilainya buat kami barisan pesara ini,” ucap Syed Naim.
Sebelum ini tidak dapat dinafikan, ramai yang kecewa apabila Anwar mengatakan tiada bantuan khas kewangan menjelang Aidilfitri untuk penjawat awam kerana bayaran insentif awal sudah melebihi daripada tahun sebelumnya dan ia dianggap cukup untuk kegunaan sambut raya.
Bagaimanapun semalam ketika Anwar mengumumkan bantuan Aidilfitri, penjawat awam memberi tepukan gemuruh dan bersorak kerana gembira.
BACA JUGA ‘Jangan berlumba-lumba anjur rumah terbuka mewah, bukan duit anda pun’ – PM