AMANAH kerah ahli, penyokong sertai Himpunan Al-Quds, Jumaat ini

AMANAH mengerahkan ahli dan penyokongnya di seluruh negara untuk menyertai Himpunan Al-Quds pada Jumaat, 5 April ini yang dikendalikan Sekretariat Solidariti Palestin (SSP).

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kerahan itu selaras dengan kedudukan AMANAH sebagai parti yang mendukung Islam sebagai asas perjuangan yang mementingkan prinsip keadilan dan menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Menurutnya, himpunan bersamaan 25 Ramadan itu bermula sejurus selesai solat Jumaat dengan himpunan bermula di hadapan Bangunan Tabung Haji di ibu negara dan beramai-ramai berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS).

“Himpunan Al-Quds adalah himpunan solidariti orang ramai kepada rakyat Palestin yang telah lama dizalimi zionis Israel.

“Sejak serangan 7 Oktober 2023 menyaksikan pembunuhan ke atas 32,782 rakyat Palestin, ianya bukanlah sesuatu yang harus dipandang ringan oleh rakyat Malaysia.

“Jenayah perang Isreal ini yang juga satu perlakuan genosid terang-terangan ini mesti dihentikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Faiz yang juga bekas ADUN Permatang Pasir, Pulau Pinang itu berkata, masyarakat antarabangsa pada masa ini bangkit menyatakan bantahan dengan jumlah ratusan ribu berdemontrasi.

Jelasnya, perjuangan membela rakyat Palestin adalah isu kemanusiaan dan keadilan melangkaui agama dan bangsa.

“Bersama kita membantah genosid di Gaza dan melindungi kesucian Masjd Al-Aqsa,” katanya lagi.