Negeri pertama cipta rekod tuai bawang Malaysia 2.3 tan

Tercipta rekod Perak sebagai negeri pertama di Malaysia berjaya menuai hasil bawang tempatan jenis BW1 membabitkan berat sekitar 2.3 tan di Kampung Ladang Bikam di Bidor.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, projek kerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri itu sebelum ini dilaksanakan secara tiga fasa di kawasan seluas satu hektar.

Menurutnya, projek tersebut menyasarkan pengeluaran hasil kira-kira empat tan metrik setiap hektar.

“Bagi penuaian pertama, ia membabitkan fasa satu di kawasan seluas 0.6 hektar dengan hasil pengeluaran sekitar 2.3 tan.

“Selepas ini, penuaian akan bersambung kepada fasa dua dan fasa tiga,” katanya, dipetik BH.

Dalam masa sama, beliau yakin projek rintis tersebut mampu menjadi pencetus kepada pengeluaran bawang dalam negara sekali gus memenuhi keperluan rakyat Malaysia.

“Ini sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bawang import,” katanya pada Majlis Tuaian Hasil Projek Rintis Tanaman Bawang Secara Besar-Besaran, semalam.

BACA JUGA Dua perspektif kejayaan Kerajaan Madani, ini pandangan Lokman