Pengasas KK Mart mengadap Agong, Sultan titah jangan ada pihak hasut rakyat lagi

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima mengadap Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan.

Sesi mengadap Seri Paduka Baginda berlangsung selama 15 minit di Istana Negara.

Pada sesi mengadap itu, Dr Chai memohon ampun dan maaf kepada Seri Paduka Baginda serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah ‘Allah’ di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Seri Paduka Baginda kemudian bertitah, menekankan semua pihak termasuk KK Mart supaya lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual khususnya barangan import bagi mengelakkan perkara sedemikian berulang.

Baginda juga menegaskan untuk kesekian kali supaya tiada pihak yang mengambil kesempatan termasuk menghasut rakyat.

“Semua pihak mesti lebih bertanggungjawab. Jangan pisang berbuah dua kali dan saya harap ini kali terakhir saya perlu menegaskan perkara ini.

“Sekali lagi, saya tegaskan jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara ini, termasuk menghasut rakyat. Saya tidak mahu perkara ini berlarutan,” titah Seri Paduka Baginda

BACA JUGA Bakal mulakan pemerintahan sebenar, ini fakta tentang Sultan Ibrahim yang anda tak tahu