PM utus salam takziah kepada keluarga Allahyarham Jaafar Onn

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuskan salam takziah kepada keluarga pelakon, pelawak dan pengacara veteran, Jaafar Onn.

“Takziah kepada keluarga tokoh penghibur tanah air Allahyarham Jaafar Onn Awang yang telah menyahut panggilan ilahi hari ini.

“Kepada kita yang mengikuti dunia hiburan, pasti terkesan dengan berita ini tatkala Allahyarham sentiasa menghiburkan masyarakat dengan bakatnya yang unik dan tersendiri dalam bidang lakonan dan muzik,” tulis beliau dalam Facebook beliau hari ini.

Dalam hantaran sama, Anwar turut mendoakan agar roh allahyarham diberi keampunan oleh Yang Maha Esa dan urusan keluarganya dipermudah, Insya-Allah.

Kira-kira jam 11.30 pagi tadi, allahyarham meninggal dunia pada usia 73 tahun di Hospital Sultan Idris Shah Serdang.

Berita pemergian pelakon filem 18 Puasa Di Kampung Pisang itu disahkan oleh anak angkatnya, Mohamad Hanif Hashim.

Menurut Hanif, Jaafar ditahan di wad Hospital Sultan Idris Shah Serdang sejak kelmarin akibat berlaku pendarahan ketika membuang air besar.

Hanif berkata, doktor sedang berusaha memberikan bantuan pernafasan selepas kritikal dan jantungnya terhenti, pagi tadi.

Sebelum ini, Jaafar mengakui mengalami masalah injap jantung yang mengakibatkan kakinya membengkak sehingga perlu menggunakan kerusi roda sejak enam bulan lalu.

Allahyarham juga antara pelakon yang pernah membintangi drama bersiri remaja awal 90-an, Cili Padi.

Beliau yang telah membintangi lebih 20 filem pernah berkahwin pada 1983 dan bercerai selepas empat tahun kemudian.

BACA JUGA Dua perspektif kejayaan Kerajaan Madani, ini pandangan Lokman