Meski dilanda kemarau, Pengerusi KADA optimis ada ‘jalan keluar’

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Muhammad Husain optimis bahawa terdapat ‘jalan keluar’ bagi golongan petani dan pesawah di Kelantan ketika berdepan musim kemarau.

Katanya, kemarau melampau sejak beberapa tahun kebelakangan ini, amat memberi kesan kepada tanaman padi, terutamanya kepada negeri tersebut.

”Saya melihat ada jalan keluar daripada kemelut ini dan ianya menjadi pencetus kepada kebangkitan petani model baharu.

”Tengah hari ini, saya ke bendang Muling, Padang Mokan untuk melihat benih padi rintang kemarau atau tahan kemarau iaitu Climate Ready Seeds (CR) yang telah ditanam seluas 15 ekar di bendang ini.

”Ia merupakan benih padi variety dalam kajian dan sudah tiga musim dilakukan ‘test plot’. Teknologi variety ini dibangunkan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dan ianya sangat tahan lasak,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam lawatannya ke bendang itu, Muhammad berkata, beliau turut dimaklumkan bahawa usia padi di situ telah mencapai 83 hari.

”Nampak segar dan sihat walaupun hadapi kemarau panjang, dan rupanya ketiadaan air sejak 35 hari lagi.

”Saya amat berharap agar para petani dapat terus meningkatkan hasil padi dengan lebih baik. Insya-Allah,” ujar Muhammad yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan.

BACA JUGA Tuaian pertama ‘Bawang Malaysia’ dan ini 10 fakta