Penceramah fitnah Menteri Pendidikan: Pejabat MB, AMK buat lapor polis
“Jika dia mengajar perkara yang betul ia tidak menjadi masalah, tetapi hasil rakaman video itu jelas dia menggunakan platform berkenaan untuk menghasut dan menanam kebencian kepada satu pihak.”
Demikian kata Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan, Ahmad Shahir Mohd Shah yang turut serta membuat laporan polis bersama Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang Seremban yang diwakili oleh Mohamad Afif Anuar.
Mereka membuat laporan polis itu terhadap seorang penceramah berhubung kenyataan yang didakwa memfitnah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di sebuah masjid di daerah Sikamat, baru-baru ini.
Menurut Ahmad Shahir, video ketika kuliah Subuh berdurasi 1.01 minit oleh penceramah Rosmin Adam itu berunsurkan fitnah.
Katanya, penceramah berkenaan turut didakwa mengulangi fitnah terhadap Fadhlina berkait isu perkataan kafir, selain mengaitkan isu larangan takbir di sekolah, kantin sekolah dibuka pada Ramadan dan larangan membaca Qunut Nazilah di sekolah.
“Dalam ceramah itu lebih kepada menghasut, menanam kebencian dan fitnah walaupun penjelasan sudah diberikan.
“Walaupun dia tidak merujuk kepada mana-mana individu, namun semua maklum siapa individu yang dia rujuk.
“Fadhlina juga sudah memberikan respon yang jelas berkenaan isu terbabit,” katanya lapor Sinar Harian.
Ahmad Shahir menegaskan, institusi masjid tidak boleh dibiarkan menjadi platform untuk menyebarkan fitnah kerana ia hanya mendatangkan masalah kepada masyarakat.
Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Daerah yang terletak di Seremban 2, Negeri Sembilan.