SKMM siasat empat individu, beberapa lagi akan dipanggil

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kini sedang menjalankan siasatan berhubung penyebaran kandungan palsu melibatkan penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa bagi tahun ini.

SKMM dalam kenyataan memaklumkan, penyebaran kandungan itu dikesan berlaku di aplikasi media sosial Facebook menerusi beberapa akaun.

“Semalam, empat daripada beberapa pemilik akaun Facebook yang disyaki membuat penghantaran kandungan itu, telah dipanggil untuk disoal siasat dan merakam keterangan oleh SKMM.

“Semua maklumat yang dimuat naik oleh mereka telah direkodkan sebagai bahan bukti untuk siasatan dan tindakan lanjut,” kata suruhanjaya itu.

Menurut SKMM, pihaknya juga akan memanggil beberapa lagi individu lain bagi membantu siasatan.

Kes terlibat disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Justeru, orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu.

Sejak beberapa hari lepas, tular dakwaan oleh beberapa pemilik akaun terutamanya di laman Facebook dan X kononnya Malaysia tidak lagi menganjurkan pertandingan tilawah al-Quran dan hanya fokus kepada penganjuran konsert.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menepis dakwaan berkenaan.

Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menetapkan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada 23 hingga 28 Mei ini di Kuantan, Pahang.

Manakala katanya, Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa pula diadakan pada 5 hingga 12 Oktober depan.

BACA JUGA Betulkah peniaga bazar rugi sebab rakyat susah?