Ng Sze Han pengarah PRK KKB untuk Pakatan Harapan

Pakatan Harapan Selangor telah menamakan Adun Kinrara Ng Sze Han sebagai pengarah pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu.

Ng akan dibantu oleh ahli parlimen Puchong Yeo Bee Yin, Dr Mohd Khairuddin Othman merangkap setiausaha Pakatan Harapan Selangor dan ahli parlimen Shah Alam Azli Yusof.

“Pasukan ini akan menyelaras gerak kerja dan kempen yang akan dirangka oleh PH Selangor, dan membuat persiapan serta menyelaras tugasan berkait kempen Pilihan Raya Kecil KKB dengan Pakatan Harapan Pusat serta parti-parti di dalam Perpaduan.

“Seterusnya, pasukan ini akan menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa utama yang akan bersedia untuk bergerak secara rasmi bermula dari hari penamaan calon iaitu pada 27 April 2024 sehingga ke hari mengundi pada 11 Mei 2024.

“Seusai senarai calon yang dikemukakan oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) diputuskan oleh Pakatan Harapan Pusat, PH Selangor akan mengaturkan majlis pengumuman calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil KKB yang akan berlangsung sebelum hari penamaan calon,” kata Dr Khairuddin dalam satu kenyataan.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan ekoran kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong.

PRK ditetapkan akan berlangsung pada 11 Mei.