Baru tahu rupa-rupanya benih bawang MARDI diguna di Perak setanding benih import

Pada 3 April lalu buat pertama kalinya, Perak berjaya menjadi negeri pertama di Malaysia yang menuai hasil bawang tempatan jenis BW1 membabitkan berat sekitar 2.3 tan.

Ini kejayaan paling besar dalam mengurangkan kebergantungan negara kepada bawang import, sekaligus meningkatkan tahap sara diri (SSL) bawang negara.

Difahamkan, projek tanaman bawang di Perak itu menggunakan benih yang dihasilkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Mungkin ramai yang tidak tahu, benih bawang merah yang dihasilkan MARDI ini sebenarnya sangat berkualiti dan setara dengan benih import, selain ia lebih segar kerana ditanam di dalam negara.

Ia disahkan sendiri Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Penyelidikan Hortikultur MARDI, Wan Rozita Wan Engah.

Wan Rozita berkata, benih bawang merah yang dihasilkan itu akan diagihkan kepada pengusaha yang mahu melakukan tanaman itu melalui Jabatan Pertanian (DOA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

“Benih yang ditanam di Ladang Bikam, Perak adalah daripada MARDI iaitu BAW-1 yang diserahkan kepada pihak DOA sebanyak 1.75 tan pada Januari lalu.

“Selain itu, kita juga mempunyai dua lagi pengusaha benih bawang merah di bawah bimbingan MARDI di Bachok,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Wan Rozita berkata, usahawan benih pertama di Bachok melaksanakan penanaman pada tahun lalu dan usahawan kedua bakal memulakan penanaman pada bulan depan.

“Pihak MARDI akan memantau dan memberi khidmat nasihat secara berkala kepada petani supaya penanaman bawang merah berjaya dicapai mengikut prosedur operasi standard (SOP) penanaman yang dibangunkan MARDI.

“Setakat ini, benih bawang merah yang MARDI hasilkan berkualiti tinggi dan setara dengan kualiti bawang merah yang diimport,” katanya.

Ketika ditanya jumlah benih bawang merah yang sudah dihasilkan MARDI, Wan Rozita berkata, penuaian benih bawang merah di MARDI Bachok pada 2022 dan 2023 masih dalam peringkat kajian dan berskala kecil, manakala tahun ini akan diketahui selepas penuaian akan dilaksanakan pada bulan ini.

BACA JUGA Tiada niat perlekeh agama, kata syarikat pengeluar kasut tumit tinggi Verns