Beras kekal makanan ruji, jamin Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan

Beras akan kekal sebagai makanan ruji negara, jamin Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Ini keranan bekalan beras di pasaran adalah mencukupi untuk keperluan rakyat.

“Pada masa ini, pengedaran stok beras putih tempatan (BPT) sedang giat dijalankan dan penurunan harga beras putih import (BPI) di antara RM2.00 hingga RM3.00 turut dilaksanakan bagi menampung keperluan para pengguna seperti yang dimuktamadkan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bulan lalu.

“Sehingga kini, stok fizikal beras negara adalah sebanyak 1,096,964 tan metrik termasuk 290,000 tan metrik stok penimbal beras,” kata kementerian dalam satu kenyataan.

Bagi maksud keterjaminan bekalan beras negara, jumlah tersebut adalah stabil serta mampu menampung keperluan untuk tempoh 5.48 bulan.

Tambahan pula, jumlah stok fizikal beras negara berbanding jumlah penduduk adalah antara yang tertinggi dan terjamin di rantau ini.

Selain itu, kerajaan turut menjamin peningkatan pengeluaran beras tempatan khususnya melalui 12 Inisiatif Gelombang Padi.

Penanaman dan pengambilan hasil tanaman-tanaman lain yang bernutrisi dan sihat oleh rakyat turut digalakkan.

BACA JUGA: Harga beras putih import diturunkan RM2-3 mulai esok