Boleh atau tidak Ustaz Don berduet dengan Siti Nurhaliza, ini kata Wan Ji
OLEH WAN JI WAN HUSSIN
Saya dapati, dari kalangan agamawan terdapat dua sikap;
[PERTAMA] tidak bersetuju.
hujah mereka;
a. Ulama berbeza pendapat dalam hal muzik. Justeru, sebagai ustaz yang berpegang teguh dengan mazhab syafie, masakan berduet dengan seorang perempuan, terjebak dengan nyanyian pun wajar dielak.
b. Adab seorang agamawan yang berduet dengan perempuan ajnabi dianggap mereka sebagai boleh mendatangkan fitnah pada imej agamawan. Justeru, mereka tanggapi sebagai tidak wajar.
[KEDUA] bersetuju.
hujah mereka;
a. berkenaan hukum muzik, ia adalah perkara khilaf. Tambahan pula, di era sekarang, untuk hindari dari muzik sudah sukar untuk dielak. Dengan pendekatan Umum al-Balwa, mereka anggap tindakan ustaz Don tersebut tidak boleh dianggap sebagai salah.
b. Berduet dengan Dato’ Siti Nurhaliza, mereka anggap sebagai salah satu pendekatan dakwah. Disamping menampilkan sifat keanjalan fiqh Islam, ia juga dapat menarik perhatian para peminat Datuk Siti Nurhaliza dalam menanggapi ajaran islam yang tidak rigid dengan konteks zaman. Apatah lagi, berkenaan isu ini masih dalam kerangka zanni dilalah, bukan qatie dilalah.
SAYA BERPENDAPAT
tidak mudah untuk memperkenalkan sesuatu yang bukan kebiasaan bagi sesuatu masyarakat. Hal ini kerana, masyarakat menilai bukan dari sudut rasional hujah, tetapi lebih kepada sentimen ramai.
Kalau dahulu, pernah saya menulis beberapa isu agama yang kini sudah diterima. Contohnya, tahun 2014, saya pernah menulis dan mengkritik Enakmen hudud kelantan dengan menganggap pembuatannya amat “cincai”. pada masa itu, saya dikecam dengan begitu hebat. Namun, selepas 10 tahun, iaitu 2024, mahkamah sendiri menyatakan bahawa enakmen tersebut mempunyai masalah yang besar dengan perlembagaan.
Kecaman dan hentaman terhadap saya berkenaan beberapa isu lain yang melibatkan saya memberi kesan amat panjang sehingga saya sudah berhadapan keterbatasan dalam banyak hal di Malaysia, seperti terhalang dari kebebasan menyampaikan dakwah dan berkuliah agama; Bukan sekadar masyarakat, malah institusi berautoriti negara dan negeri.
Bukan dalam kerajaan dahulu sahaja, malah dalam kerajaan yang partinya saya dokong.
Hal ini kerana, saya sudah dituduh dengan label yang bersifat sentimen ramai, seperti digelar sebagai “wahhabi”, “Liberal”, “plural” dan sebagainya.
Justeru, saya tidak rasa pelik sangat jika Ustaz Don dikecam. Cuma, saya percaya nasib beliau tidak semalang saya.
Makanya, isu yang berbangkit melibatkan Ustaz Don ini, saya berpendapat begini; jika dilihat dari kacamata dakwah, mungkin cara orang menanggapi beliau tidak sama dengan orang yang melihat isu beliau dari kacamata fiqh.
Artikel ini disiarkan kali pertama oleh Wan Ji menerusi laman Facebooknya Herjunot Ali.
Â