JPM akan bertemu JAIN tangani isu penggunaan logo mirip Allah

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan bertemu pihak jabatan agama Islam negeri (JAIN) dalam tempoh terdekat, bagi menyelaras tindakan bersepadu untuk menangani isu dakwaan penggunaan logo mirip Allah di tapak kasut jenama Vern’s.

Menteri Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, pertemuan juga akan diadakan bersama pihak berkuasa, seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan beberapa pihak berkaitan bagi keperluan sama.

“Adalah menjadi komitmen utama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk menjaga kesucian Islam dan maslahah umat Islam.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang jelas terbukti membuat tindakan menghina Islam,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, susulan pertemuan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama pengasas dan Pengarah Urusan Vern’s Holding Sdn Bhd, Datuk Seri Ng Chuan Hoo berkaitan isu berkenaan hari ini, adalah dimaklumkan bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyerahkan proses selanjutnya kepada siasatan PDRM.

“Jakim sudah diarah memberikan kerjasama penuh kepada PDRM dalam melengkapkan siasatan.

“Sekiranya terdapat elemen bertentangan dengan undang-undang, maka proses selanjutnya akan diambil PDRM,” katanya.

Na’im berkata, semua pihak perlu mengambil pengajaran daripada situasi itu agar ia tidak berulang.

“Pada masa sama, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menasihatkan semua pihak untuk sentiasa bertenang serta tidak mengambil apa-apa langkah melulu yang bertentangan dengan undang-undang negara. Semua tindakan adalah berasaskan fakta dan bukti kukuh.

“Adalah menjadi kewajipan semua pihak untuk menjaga akhlak dan tingkah laku agar keharmonian dan perpaduan dalam negara, sentiasa terpelihara,” katanya.

BACA JUGA: Logo kasut mirip kalimah Allah: Jakim akan siasat