Selangor angkat perpaduan, kukuhkan keharmonian

Kerajaan negeri Selangor pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari mengambil pedoman daripada titah tuanku sultan Selangor ketika merasmikan Masjid Damansara Perdana untuk mengangkat perpaduan dan mengukuhkan keharmonian.

“DYMM Tuanku turut menitikberatkan kepentingan untuk rakyat berbilang bangsa dan agama di Selangor menjauhkan sikap berprasangka buruk dan sebaliknya suburkan sikap toleransi demi mengukuhkan keharmonian dalam kalangan masyarakat Selangor.

“Baginda menyeru supaya pemimpin-pemimpin politik memainkan peranan menyatupadukan rakyat dan tidak mengeruhkan keadaan dengan membangkitkan isu-isu yang mampu membawa kepada perpecahan dalam kalangan rakyat.

“Selaku Menteri Besar yang dipertanggungjawabkan untuk terus memajukan negeri Selangor supaya kekal sebagai negeri barisan hadapan ekonomi Malaysia, patik menjunjung kasih titah DYMM Tuanku dan memberikan komitmen bahawa seruan Tuanku yang menjadi antara pendorong kepada sikap kerjasama utuh dalam Gabungan Perpaduan yang mewakili semua warga Selangor akan terus diangkat dan diperkukuh.

“Titah Tuanku wajar diambil sebagai pedoman oleh semua pihak merentasi fahaman politik. Sebagaimana nasihat Tuanku, tiada sesiapa yang harus menyalahgunakan agama untuk kepentingan peribadi ataupun muslihat tertentu yang boleh menggugat keharmonian dalam kalangan warga Selangor,” kata Amiruddin dalam satu kenyataan.

Amiruddin turut menegaskan bahawa tiada tempat untuk agen pemecah belah di Selangor.

“Gabungan perpaduan negeri Selangor memberikan komitmen penuh bahawa keharmonian rakyat tidak boleh diambil ringan dan harus sentiasa dipupuk, dipelihara, dan diperjuangkan bagi menjamin kestabilan dan keamanan bukan sahaja untuk hari ini tetapi bagi generasi-generasi akan datang.

“Agen pemecahbelah tiada tempat di negeri Selangor.”

BACA JUGA: Pasangan pembekal senjata api kepada warga Israel didakwa hari ini