Aidilfitri disambut esok

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad telah mengumumkan bahawa umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri esok 10 April 2024

“Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Rabu 10 April 2024.”

Terdahulu, aktiviti cerapan anak bulan dilaksanakan di 29 lokasi di seluruh negara, petang tadi.

Cerapan anak bulan dikendalikan Jawatankuasa Melihat Anak Bulan/Rukyah Negeri yang dipengerusikan mufti negeri dan ahlinya, merangkumi pakar falak, alim ulama, pegawai falak berkemahiran serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).